Thursday, October 23, 2008

Bagaimana solat dalam kapal terbang



Bagaimana solat dalam kapal terbang




“Macam mana nak solat kalau kita berada dalam kapal terbang nanti ek?” “Ala..buat jamak dan qasar je la”Jawab si A.
“Waktu lain boleh la,tapi kalau waktu subuh macam mana?”

Dialog ini selalu kita dengar,namun tidak ramai yang mengambil berat akan hal ini.Kebiasaannya jawapan yang muncul ialah “Kita Qada’ je solat tu”.Jawapan itu kadangkala bukan hanya muncul dari orang biasa,tetapi ia juga keluar dari mereka yang di anggap alim oleh masyarakat awam.Sepatutnya hal ini tidak boleh terjadi dewasa ini.Membicarakan hal ehwal agama bukanlah semudah membiacarakannya di warung-warung kopi.Tetapi ia memerlukan Ilmu,penelitian,pertimbangan dan keberhatian.Melihat akan bermudah-mudahnya manusia dalam membicarakan hal agama terutama mengenai hukum-hakam,membuatkan penulis insaf dan malu kepada Allah.

Hal ini tidak pernah terjadi pada zaman para sahabat dan juga pada zaman kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu.Ketika itu,sesuatu hukum yang ingin dihebahkan akan dikaji dan diteliti dalam-dalam berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.Semua ini dilakukan oleh kerana takutnya mereka akan ancaman Allah keatas mereka yang membicarakan sesuatu tanpa pengetauan.

Hal ini dinyatkan oleh Allah dalam Surah Al-A’araf:
“Dan mengharamkan mengada-ada terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”

Ibnu Sirin pernah mengatakan bahawa “mati itu lebih baik daripada mengatakan sesuatu yang dia tidak ketahui”.Selain daripada Ibnu Sirin,seorang sahabat besar Nabi iaitu Saidina Abu Bakar juga pernah mengatakan “Langit manakah yang akan menaungiku dan bumi manakah yang menampungiku,jika aku mengatakan sesuatu yang tidak aku ketahui”.Oleh itu,penulis berharap,kita semua dapat mencontohi sikap mereka yang sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

Untuk menjawab persoalan dialog diatas,penulis membahagikannya kepada 3 bahagian.Pembahagian ini akan memudahkan pembaca menteliti dan menilai hujah-hujah yang akan dikemukan.Setiap hujah akan disertakan dengan dalil dari Quran dan Sunnah.Selain daripada itu,setiap hujah juga akan disertakan rujukan di bahagian nota kaki.Semua ini dilaksanakan agar para pembaca dapat mengkajinya secara lanjut.

Bahagian pertama:Hukum menghadap kiblat didalam pesawat.

Telah sepakat bahawa menghadap kiblat adalah perkara wajib apabila ingin menunaikan solat fardhu yang lima.Ini telah dinyatakan Allah didalam Surah Baqarah:149-150 yang bermaksud:

Dan dari mana saja kamu keluar (datang), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram, sesungguhnya ketentuan itu benar-benar sesuatu yang hak dari Tuhanmu. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan. Dan dari mana saja kamu (keluar), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya, agar tidak ada hujjah bagi manusia atas kamu, kecuali orang-orang yang zalim diantara mereka. Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku (saja). Dan agar Ku-sempurnakan nikmat-Ku atasmu, dan supaya kamu mendapat petunjuk.

Selain daripada itu,hujah ini diperkuatkan lagi dengan Sabda Nabi yang bermaksud:

Baitullah ialah qiblat bagi penduduk (yang berada sekitar) Masjidil Haram, dan Masjidil Haram ialah qiblat bagi penduduk (yang berada sekitar) tanah suci Mekah, sedangkan tanah suci merupakan qiblat bagi penduduk bumi dari umatku baik yang ada di sebelah timur mahupun di sebelah barat[1].

Berdasarkan hadis diatas,Syeikh Dr Wahbah Zuhaili menafsirkan bahawa “Menghadap kiblat dengan tepat adalah wajib bagi mereka yang berada disekitar Masjidil Haram.Manakala bagi mereka yang jauh dari Makkah,memadailah menghadap ke arah Makkah sebagai menetapi syarat hukum[2].

Mencari arah kiblat adalah suatu kewajiban bagi mereka yang mahu mendirikan solat.Pelbagai cara dan kaedah boleh dilakukan bagi menentukan arah kiblat dewasa ini. ‘Tidak tahu’ bukan lagi alasan kukuh bagi kita pada zaman kini.Teknologi satelit,kompas dan sebagainya memungkinkan kita untuk mengetahuinya dengan mudah.Oleh itu,tidak sah solatnya jika seseorang solat tanpa menghadap kiblat dengan alasan tidak tahu!Hal ini tidak dipandang sebagai keuzuran tetapi dipandang sebagai suatu hal yang mempermainkan agama.Sebagai seorang Muslim,menyediakan peralatan untuk solat adalah perkara utama yang perlu difikirkan apabila ingin bermusafir.Ini semua untuk mengelakkan kita dipertanggungjawab di Akhirat nanti.

Namun jika semua usaha telah dilakukan masih gagal untuk menentukan arah kiblat terutama didalam pesawat,maka dibenarkan untuk mengangarkan arah kiblat setepat mungkin.Hujah ini berdasarkan hadis di bawah yang bermaksud:

Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menerangkan: Kami pernah solat di satu malam yang mendung dan kami tidak mengetahui arah qiblat. Tatkala kami selesai solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah qiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam lalu beliau berkata: Kamu telah melakukan yang terbaik. Seterusnya Jabir berkata: Dan beliau tidak menyuruh kami mengulanginya[3]

Berdasarkan kepada hadis diatas,para Fuqaha telah bersepakat bahawa solat tetap wajib dilaksanakan walaupun tidak menghadap kiblat.Walaubagiamanapun,status hadis diatas dinilai tidak sahih oleh Imam Shafie ,dan menurut Mazhab shafie wajib untuk mengulangi solat tersebut setelah mengetahui arah kiblat[4].Setelah mengetahui hadis diatas dinilai Tidak Sahih oleh Imam Shafie,penulis cuba membuat beberapa semakan dalam beberapa pendapat yang lain.Akhirnya penulis mendapati bahawa mujtahid mutakhirin mendapati bahawa hadis diatas adalah sahih kerana terdapat banyak sumber serta jalan periwayatannya.Hadis-hadis yang dijumpai juga saling kuat-menguat antara satu sama lain,sehingga menjadikannya bertaraf sahih[5].Imam Syaukani dan Imam Shana’ni juga menilainya sahih dalam Nailul Authar dan subus-salam.

Bahagian dua:Semampu yang mungkin.

Hal ini sering terjadi kepada mereka yang berada di dalam pesawat.Dengan keadaan pesawat yang sempit(Kecualilah kapal terbang yang bersaiz besar seperti Airbus A380),anak-anak kapal yang sibuk menjalankan tugas dan pelbagai lagi tidak memungkinkan seseorang itu untuk mendapat ruang untuk solat.Apa yang boleh dilakukan adalah hanya duduk dikerusi.Dalam hal ini penulis tidak menemui jalan yang mudah. Dr Ahmad As-Syarbaasi iaitu Tokoh Feqh dari Universiti Al-Azhar menegaskan bahawa seseorang itu wajib berusaha untuk solat sesempurna yang mungkin(iaitu,berdiri,ruku’ dan sujud dilakukan secara sempurna).Malahan kata beliau,jika pesawat itu bergerak ke arah lain maka orang yang bersolat itu juga perlu menukar arah kiblatnya.

Namun jika tidak diketahui kearah mana pesawat bergerak maka dibolehkan untuk tetap pada arah asal.Ketegasan Dr Ahmad ini bersandarkan kepada maksud hadis:

Apa yang aku tegah kamu darinya maka hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu mengerjakannya sekuat mampu[6].

Menurut Dr. Syarbashi dalam huraian bab yang sama, solat seseorang itu adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi kerana telah berusaha sekuat mampu untuk menghindari semua kesukaran yang wujud disamping niat yang ikhlas.

Bahagian ketiga:Solat dengan cara duduk?

Solat secara duduk adalah salah satu kemudahan yang disediakan Islam kepada penganutnya.Ini juga membuktikan kepada penganut agama lain bahawa,umat Islam boleh melaksanakan ibadahnya walaubagaimanapun keadaan seseorang itu.Pada asalnya solat itu diwajibkan dilaksanakan dengan berdiri tegak.Ini bersandarkan kepada Firman Allah yang bermaksud:

Peliharalah semua shalat(mu), dan (peliharalah) shalat gusta.Berdirilah untuk Allah (dalam shalatmu) dengan khusyu'[7]

Namun begitu,terdapat beberapa sebab yang membolehkan seseorang itu solat tanpa berdiri.Antara sebab yang dibenarkan seperti yang dijelaskan dalam hadis adalah;Sakit sehingga tidak membolehkan seseorang itu berdiri,kesukaran dan dalam keadaan berbahaya.

Bagi seseorang yang sakit sehinggakan tidak mampu,dia dibenarkan solat secara duduk ataupun semampu yang dia boleh.Ini bertepatan dengan sabda Nabi yang bermaksud:

Solatlah dengan berdiri,kalau tidak mampu maka duduklah,kalau masih juga tidak mampu maka berbaringlah dengan posisi miring.[8]

Menurut Saiditina Aisyah,isteri Nabi Muhammad,cara duduk yang dilakukan Nabi adalah dengan bersila.[9]Walaubagaimanapun,tidak mengapa jika seseorang itu tidak bersila,ikutlah sekadar mana yang mampu.Manakala bagi mereka yang mampu berdiri tetapi mempunyai masalah untuk rukuk dan sujud,maka memadailah melakukannya dengan Isyarat.Panduan ini diajarkan Nabi dalam satu hadis yang bermaksud:

Jika mampu bersujudlah di atas tanah,dan jika tidak mampu maka berisyaratlah dengan jelas atau jadikan sujudmu lebih rendah dari ruku’ mu.[10]


Ramai yang runsing berkenaan dengan kesempurnaan solat jika dilakukan selain dengan berdiri.Sebenarnya,solat secara duduk jika ada keuzuran diterima dan solat tersebut adalah sempurna[11].Namun,pahalanya kurang separuh daripada mereka yang solat dengan berdiri.Ini bertepatan dengan sabda Nabi yang bermaksud:

Pahala orang yang solat duduk separuh daripada mereka yang solat dengan berdiri[12]

Selain daripada sakit,kesukaran dan dalam keadaan bahaya juga diberi kelonggaran untuk melakukan solat dengan duduk.Kesukaran ini biasa dihadapi mereka yang berada dalam keadaan bergerak.Terutama dalam kapal terbang.Biasanya perkara yang dihadapi adalah,ruang yang sempit yang tidak mengizinkan solat dengan berdiri, dan pergerakan yang melampau sehinggakan sukar untuk berdiri.Dalil yang jelas membenarkan ia dilakukan adalah berdasarkan hadis Nabi yang bermaksud:

Seorang sahabat telah bertanya kepada Nabi “Bagaimanakah cara melakukan solat dalam perahu?” Kemudian Nabi bersabda: “bersolatlah dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam.[13]

Hadis diatas ini menjadi dalil bolehnya bersolat di atas kenderaan,tidak Kira apa jenis kenderaan sekalipun.Kerana ilat (tujuan hadis) bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah kebolehan pelaksanaan solatt di atas kenderaan.[14]

Kesukaran lain yang turut dinyatakan dalam hadis,ialah mengelakan diri dari hujan lebat.
Nabi pernah melaksanakan solat secara duduk di atas kenderaan dengan hanya sebab untuk mengelakkan diri daripada hujan lebat.Sabda Nabi yang bermaksud:

Ya’la bin Murah ra bersama Nabi dalam satu perjalanan,kemudian sampai di satu lembah.Ketika itu Nabi di atas kenderaan tunggangannya.Langit ketika itu mendung dan tanah sangat basah.Kemudian masuk waktu solat,Baginda memanggil muazin lalu muazin azan dan iqamah.Setelah itu,Nabi meneruskan solatnya di atas kenderaan dan bersolat secara berjamaah dengan para sahabat.Baginda memberi isyarat dimana sujudnya lebih rendah dari ruku’nya.[15]

Keadah perlaksaan solat fardhu diatas kapal terbang sama sahaja seperti solat di darat.Cumanya,ada kesukaran yang timbul maka ,kesempurnaan gerak solat itu juga berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi.Perlaksanaannya juga sama sahaja dengan kaedah solat bagi mereka yang sakit,seperti menudukkan kepala lebih sedikit ketika sujud,bagi membezakan sujud dengan ruku’.

Akhir sekali,penulis menyeru kepada semua agar bersikap adil dan benar dalam hal memilih keadah melaksanakan solat sama ada secara berdiri atau duduk.Tidak sah solat bagi mereka yang sengaja solat secara duduk tanpa ada keuzuran yang dibenarkan.Namun jika segala daya dan usaha telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh,maka dirikanlah solat dengan semampu yang mungkin.Tidak perlu di Qhada’ ataupun diulanginya semula.

Firman Allah:

“(Allah) telah memudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi semuanya daripadaNya.” (al-Jatsiyah: 13)


Penulisan ini adalah hasil kajian dan pemahaman penulis, dan sebagai manusia, penulis tetap melakukan kesilapan. Jika terdapat pemahaman yang silap, maka tegurlah kesilapan itu. Jika pemahamanku silap, aku menariknya semula semasa hidupku atau sesudah matiku.[16]

[1] riwayat Imam al-Baihaqi, dikutip oleh Shaikh Manshur Ali Nashif dalam at-Taaj al-Jamii' lil-Usul fii Ahadith Rasul, 1/440 tidak dinyatakan status hadis..

[2] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam

[3] hadith riwayat Imam Baihaqi dalam kitabnya Sunan al-Kubra, Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar,

[4] Imam Shana’ni didalam kitab Subus-salam

[5] Hafiz Firdaus dalam bukunya Panduan ibadah dalam musafir penerbangan.

[6] diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim

[7] Surah Al-baqarah:238

[8] Hadis direkodkan Bukhari.

[9] Hadis direkodkan Imam Nasai’e

[10] Silsilah Sahihah-Nasirudin Al-bani

[11] Koleksi Hadis-hadis Hukum oleh Prof Dr,Hasbi Ash-Shiddieqie,yang dinukilkan dari Buku Hafiz Firdaus Panduan ibadah dalam musafir penerbangan -.

[12] Musnad Ahmad

[13] Hadis direkodkan Imam Al-Bazaar dan Daraquthni.Rujuk Nailul Authar,Imam Syaukani.

[14] Koleksi hadis-hadis hukum oleh Prof Dr Hasbi Ash-Shiddieqie. dinukilkan dari buku Hafiz Firdaus Panduan ibadah dalam musafir penerbangan ,

[15] Hadis direkodkan Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad.Disahihkan oleh Imam Syaukani dalam Nailul Authar.

[16] Imam Syafie

0 comments:

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2007